12/02/2012

Review Zine: Karma Sastra

Dua Selasa lalu, nama Syakirin Daud (semoga beliau tak tersedak) disebut-sebut dalam ulasan zine Buku Hitam. Minggu ini, nama beliau sekali lagi disebut-sebut untuk ulasan zine solo sulung beliau iaitu Karma Sastra. Sekali baca sahaja tajuk zine ini, pelbagai tanda tanya bermain dalam fikiran pembaca. Apakah tema zine ini? Apakah genre yang diketengahkan? Adakah bersamaan dengan e-zine Zine Satu Malam yang berjudul Sofkor itu atau bagaimana? Ingin hati terus menerobos isi kandungan zine ini tetapi ada sesuatu yang menahan pembaca daripada melakukannya. Kulit. Kulit zine ini sahaja merupakan satu karya yang hebat. Berlatar belakangkan warna hitam, dinding kertas itu dihiasi graffiti yang menarik perhatian. Apabila dibaca bait demi bait yang tertera, rasa kagum terhadap penulis bertambah. Manakan tidak, grafik yang sekali pandang nampak seperti contengan cat sembur murah itu sebenarnya melakarkan idea dan luahan daripada penulis. Meskipun berbentuk luahan, idea atau pun buah fikiran yang terkandung dalam setiap graffiti memberi mesej yang bermakna dan agak ‘melekat’ di kepala. Setelah mata menilik setiap inci kulit luar, nafsu melonjak-lonjak untuk meratah isi di dalam. Sungguh, perasaan teruja menyelubungi namun sedikit rasa skeptikal turut muncul. Peribahasa Inggeris minggu lepas sekali lagi mengetuk tempurung kepala. Adakah kandungannya turut sama hebat seperti kulit?
Halaman kandungan diselak. Ada 15 karya kesemuanya (termasuk prakata). Melihat tajuk-tajuk sahaja sudah merangsang jemari tangan untuk menyelak halaman-halaman seterusnya. Mengapa prakata dikira sebagai karya? Penulis menyampaikan prakata beliau dalam bentuk prosa separa klasik, menggunakan gaya bahasa pasca-Sanskrit yang menceritakan secara ringkas apa yang terkandung dalam 14 karya seterusnya. Pemilihan font Papyrus untuk halaman ini agak berkesan untuk meninggalkan kesan ‘epik’ kepada pembaca. Seperti biasa, 14 karya berkenaan dibahagikan kepada dua kategori iaitu kispen dan puisi yang dibahagikan sama rata dari segi jumlahnya. Bilangan mukasurat bagi setiap kispen ialah 5-7 mukasurat dan diselang selikan dengan puisi yang tidak lebih 1 mukasurat setiap satu. Tajuk-tajuk kispen yang ditulis ialah; Angin Sore, Konfiusi Histori, Karma Sastra, Kuda Juara, Renjis Air Mata, Memori Hingusan, dan Ganjaran, manakala puisi-puisi pula berjudul Bulat Pangkah, Sampaikan, Senja Itu Merah, Mat Pet, Sekolah Berasrama Penuh, 24 Jam Si Agas, dan Monologis Terakhir. Pemilihan font yang berbeza bagi kispen (Andalus)  dan puisi (Papyrus) di samping penyusunan yang berselang-seli dikira bijak kerana dengan variasi yang diberikan, pembacaan menjadi lebih menyenangkan dan membantu mengelakkan ketegangan saraf mata (?).  Selain itu, mukasurat yang bernombor serta karya yang tersusun memberikan imej kemas dan menjadikan zine ini kelihatan terancang dan terurus.
Kulit telah ditilik. Fizikal sudah dirisik. Seperti karya-karya beliau dalam Buku Hitam, Syakirin Daud sekali lagi menonjolkan personaliti beliau melalui karya-karya dalam Karma Sastra. Isu-isu yang dibangkitkan adalah pelbagai, namun tidak lari dari tema kegemaran beliau iaitu sosiopolitik. Pandangan beliau dalam beberapa isu seperti sistem politik yang korup, kebejatan moral remaja dan fantasi cinta disampaikan dengan baik sekali. Tanpa ditanya, beliau mengakui bahawa beberapa karya yang ditulis diinspirasikan oleh pengalaman beliau sendiri dan juga pengalaman orang-orang di sekelilingnya yang diolah semula dalam bentuk penulisan dengan tambahan daripada kelikatan imaginasi beliau. Antara karya yang dimaksudkan ialah Angin Sore, Karma Sastra, Kuda Juara, dan Memori Hingusan. Memetik kembali kata-kata beliau, penulis “merasakan ada sesuatu yang hilang” setiap kali beliau membaca kembali karya-karya yang beliau tulis sendiri kerana terdapat pengalaman pahit dan manis beliau di sebalik kisah yang diceritakan. Kesimpulannya, zine Karma Sastra ini sarat dengan nilai sentimental buat penulis.
Penulis mengekalkan gaya penulisan yang santai dalam penulisan kispen. Beberapa kali pembaca tergelak kecil sewaktu membaca kispen-kispen beliau. Penggunaan aside juga semakin ketara dan kaedah yang digunakan beliau adalah ‘menjadi’ kerana beliau berjaya menarik pembaca dekat dengan cerita. Penggunaan onomatopoeia atau efek bunyi turut dimasukkan seperti yang dilakukan dalam kispen Tribut Seorang Anti Straight Edge (Buku Hitam). Cerita-cerita yang ditulis disampaikan dalam cara yang menarik. Namun begitu, terdapat beberapa karya yang beraksakan plot yang agak klise.Pun begitu, originaliti beliau masih diselitkan. Analoginya cukup mudah. Setiap kedai mamak ada menghidangkan roti canai, namun setiap roti canai mempunyai rasa, tekstur dan rupa yang berbeza meskipun ramuannya sama. Kenapa? Kerana pembuatnya berbeza. Mengerti?
Beralih pula kepada puisi. Puisi-puisi yang ditulis menyentuh isu politik, agama dan moral yang tidak keterlaluan namun cukup memegunkan dan meninggalkan bekas dalam hati pembaca. Penggunaan diksinya ringkas namun tepat untuk menyampaikan mesej beliau. Penulis juga gemar menggunakan gaya bahasa metafora dan personifikasi yang menarik dan kadang kala mengangkat kening pembaca (?).
Secara keseluruhannya, zine Karma Sastra ini telah menyerlahkan bakat dan personaliti Syakirin Daud. Tahniah! << *\(^^,)/* ß pompom girl kembali lagi! >> Semoga perjuangan dan cita-cita beliau dalam industri penulisan akan memberi impak positif kepada individu, keluarga, masyarakat, bangsa, agama dan negara. Dunia? Belum waktunya untuk berkhayal sejauh itu :P
Karya mana pula yang akan diulas menjelang Selasa minggu hadapan? Masihkah ada pujian setinggi awan stratus, ataupun kritikan yang mencampak penulis ke laut dalam? Nantikan.
OP: Pujian mencecah ruang angkasa tidak bermakna kau boleh terus berbangga. Kritikan sepanas matahari atau sedingin salji tidak bermaksud kau sudah jatuh dari tempat berdiri. Terus dan teruslah berjalan. Usaha tangga kejayaan. << Kalau tak suka panjat tangga, carilah lif atau eskalator yang berdekatan. Tapi kalau kau tak biasa memanjat, pasti sukar bila suatu hari nanti bekalan elektrik diputuskan kuasa Tuhan. ;) >>

0 kritikan free: