01/03/2012

Review Puisi: Anak Kecil Itu


Assalaamu’alaikum. Seperti yang dijanjikan, minggu ini anda akan disuakan dengan ulasan puisi Anak Kecil Itu dari Syafiq Mohamad. Puisi yang kedua ini dipetik dari zine Buku Hitam terbitan Dark Book Press. Ini versi “Old Testament”. Sebelum ada yang berkomplot di belakang dan memalsukan mashaf yang asal. Khianat? Entahlah.
Sajak 28 baris ini mengambil bentuk bebas atau dalam bahasa Inggerisnya, free verse. Pembahagian meter atau suku kata antara baris-baris diklasifikasikan sebagai heterometer; iaitu pelbagai dari segi bilangan suku kata dalam satu baris dengan baris yang lain. Tiada pembahagian stanza atau rangkap yang jelas, kerana semuanya ditulis secara selari dari kiri. Namun begitu, terdapat beberapa bahagian yang menandakan volta; iaitu perubahan nada atau isi puisi. Selain itu, penulis menggunakan sudut pandangan ketiga atau pencerita yang tidak terlibat secara langsung dengan jalan cerita.
Dari segi semantik, puisi ini bersifat literal atau tersurat. Seperti yang pernah diberitahu sebelum-sebelum ini, penulis (Syafiq Mohamad) tanpa sedar atau tidak, sering menggunakan metafora dalam karya-karya beliau.  Begitu juga dalam puisi ini, penulis menyelitkan beberapa metafora yang melambangkan identiti beliau iaitu unik tapi masih difahami. Selain dari metafora, tiada makna dalam melainkan penulis sendiri serta Tuhan saja yang tahu. Sudut pandangan ketiga dalam menggali makna inti adalah terbatas. Konklusi ini dibuat berdasarkan penggunaan diksi serta pengimejan (imagery) yang mudah dan konkrit.

Dari segi plot atau penceritaan pula, unsur klise memeluk keseluruhan puisi. Hanya struktur ayat dan pemilihan kosa kata sahaja yang memberi DNA penulis kepada puisi ini. Secara ringkasnya, puisi ini mengisahkan seorang anak yang dibesarkan oleh ibu dan bapanya denga penuh harapan namun apabila membesar dewasa, anak yang dulunya kecil itu sudah semakin jauh dengan agama dan menjadi lupa pada pengorbanan ibu bapanya kerana hanyut dengan dunia.

Antara persoalan moral yang disentuh penulis ialah penyalahgunaan alkohol, pengawalan nafsu seksual, serta kepentingan berpegang pada agama.
Sekian dulu ulasan paling ringkas dalam sejarah Orked Perak dan semoga wujud lagi untuk ulasan seterusnya: Kispen Ini Baju Bundle dari Syafiq Mohamad.