14/02/2012

Review Puisi: Buku Hitam


Seperti yang telah dijanjikan dua minggu lepas, saya menawarkan kesudian untuk mengulas karya-karya yang dimuatkan dalam zine Buku Hitam secara tunggal. Jenuh saya memikirkan; karya mana yang patut dibedah dulu? Jadi; untuk berlaku adil, maka dengan itu saya memutuskan untuk membedah karya mengikut susunan yang telah termaktub dalam zine itu sendiri. Justeru; kalau ada yang tidak berpuas hati, halakan semua kepada penyusun zine itu.  *action tolak angin macam dalam kartun Dragon Ball*  Huehuehueh.

Adapun kisah hikayat Buku Hitam diberi nama;
Di dalamnya tertera satu prosa delapan baris kata.
Diukir indah oleh tangan arjuna;
Menyampai bicara, berkongsi rasa.

Karya pertama yang menerjah mata pembaca ialah sebuah puisi bertajuk Buku Hitam yang dikarang oleh Syafiq Mohamad. Puisi 8 baris yang berkongsi tajuk dengan zine tersebut boleh dikatakan tepat letak duduknya sebagai karya pemula; bukan sahaja kerana tajuknya, tetapi juga isi kandungannya. Saya tertanya; mengapa tajuknya serupa? Mungkin kerana karya ini dianggap karya terbaik antara yang lain-lain, maka tajuknya diabadikan di muka hadapan? Wah. Sepertinya sedang mengulas album seorang penyanyi; di mana tajuk lagu hits selalunya digunakan sebagai tajuk album. Namun, itu pertanyaan dan sangkaan dangkal sebelum membaca isi puisi tersebut. Setelah usai pembacaan, saya mengerti; bahawa puisi ini sebenarnya sebagai pengganti prakata atau sinopsis yang menggambarkan keseluruhan isi zine. Maklumlah; inikan zine dari Dark Book Press, bukan majalah editorial Bogues!

Mungkin lebih senang penjelasan sekiranya puisi tersebut dipamerkan di sini tetapi pada pendapat saya, adalah tidak adil bagi penulis kerana saya tidak mendapat keizinan daripada beliau untuk menerbitkan semula karya beliau secara percuma. Apa yang saya boleh sampaikan hanyalah gambaran dan komen.

Puisi ini ditulis dalam 4 stanza, dan setiap stanza mengandungi 2 baris sahaja. Ringkas, namun cukup untuk mendeskripsi keseluruhan zine. Wah. Kita bercakap tentang pengaruh besar di sini. *angkat kening*
Seperti yang diketahui, Syafiq Mohamad selalunya memilih gaya santai dalam penulisan. Kosa kata yang digunakan adalah ringkas dan mudah difahami. Beliau juga tidak menggunakan banyak elemen tatabahasa di dalam ayat-ayat beliau. Justeru, ayat-ayat yang disampaikan adalah bersih daripada penggunaan penghubung kata penyedap bicara yang tidak diperlukan. Dengan kata lain, puisi ini tidak puitis. Paradoks? Itulah dia.

Seringkas rupa, ringkas jugalah intinya. Melalui puisi ini, penulis menerangkan apa yang disebut-sebut sebagai ‘buku hitam’ itu. Berdasarkan stanza pertama, penulis memberitahu isi pertama di dalam ‘buku hitam’, iaitu pengalaman pahit – sedih, sakit, pilu, kacau, dan apa sahaja yang tidak digemari hati. Stanza kedua pula memberitahu isi kedua yang juga terkandung di dalam ‘buku hitam’, iaitu rasa “cinta” serta semua rasa yang menggembirakan dan membahagiakan jiwa, yang terpendam dalam hati penulis. Pada ketika ini saya menyedari yang isi kedua ini bagai diCinderellakan kerana tidak begitu selari dengan gambaran yang diberikan oleh nama ‘buku hitam’. Secara konvensionalnya, ‘hitam’ lebih banyak merujuk kepada negatif; maka pengalaman pahit itu adalah selari dengannya. Berbeza pula dengan perasaan cinta yang secara klisenya digambarkan dengan warna-warna lembut atau boleh juga psikedelik, tetapi bukan hitam. Dengan logik itu, agak terserlah personaliti penulis yang lebih banyak mengalami pengalaman pahit daripada yang manis. Oh kasihan.

 Stanza ketiga pula menyatakan bila semua perasaan yang terpendam di hati penulis tadi ditulis; iaitu pada ketika tercetusnya perasaan-perasaan itu. Di sini, apa yang saya faham ialah apabila tiada rasa yang terbit di hati, tidak akan tercatatlah apa-apa cerita. Seolah-olah memberitahu yang karya dihasilkan dari hati, pengalaman sendiri, dan bukan sekadar imaginasi kosong tanpa emosi. Dalam stanza akhir inilah baru penulis merangkumkan maksud ‘buku hitam’; iaitu sebuah diari. Dan seperti yang saya fahami, diari yang dimaksudkan ialah bukan diari biasa, tapi karya seni yang dihasilkan dari pengalaman, keinginan dan perasaan. Tak gitu, Syafiq?

Sampai di sini sahaja ulasan karya untuk minggu ini. Sekiranya pendapat dan pandangan yang diberikan adalah kontradis dengan pandangan anda, anda dialu-alukan untuk melancarkan counter review ke atas ulasan ini. Sama-sama buat karya, sama-sama buka minda. Wassalam.

0 kritikan free: