21/02/2012

Review Kispen: Tribut Seorang Anti Straight Edge


Assalaamu`alaikum! Saya tiba lagi dengan ulasan keempat untuk Dark Book Press! Minggu ini, buat julung kalinya saya akan mengulas sebuah kispen hasil tulisan salah seorang anak muda dari selatan tanah air iaitu Syakirin Daud. Kispen beliau yang dimaksudkan berjudul Tribut Seorang Anti Straight Edge yang disertakan di dalam zine Buku Hitam.
Ramai yang sudah maklum dengan norma Syakirin Daud yang gemar mengetengahkan isu sosial dalam karya beliau. Begitu juga dalam kispen ini; beliau menyampaikan beberapa mesej sosial melalui kisah seorang remaja lelaki bernama Azzam bin Dato’ Kamisan. Secara ringkasnya, watak Azzam di dalam kispen ini mewakili remaja yang hidup mewah, diberikan kebebasan tiada batasan oleh ibu bapa, dan sudah berkarat serta berkulat paksinya pada agama. Azzam yang sedang menganggur selepas tamat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia sangat menikmati kehidupannya sebagai remaja liar hingga tiba ajalnya.Banyak mesej yang diselitkan dalam kisah ini. Antaranya ialah sikap tidak bersyukur terhadap kesenangan yang diterima, manipulasi dalam bisnes, kepentingan ilmu dan amalan akhirat serta keruntuhan akhlak remaja. Bunyinya memang agak tipikal, namun sentuhan yang diberikan oleh penulis mempamerkan sedikit kelainan.
Penulis benar-benar mengaitkan kisah yang ditulis dengan beberapa perkara di sekelilingnya. Secara geografi, penulis menggunakan negeri kelahiran beliau sebagai latar belakang kispen ini dengan menyebut beberapa lokasi di sekitar bandaraya Johor Bahru. Selain itu, beliau tidak lupa menyampaikan perasaan jengkel beliau terhadap sikap “remaja agas” dan “sistem pemasaran pelbagai peringkat” yang selalu disebut-sebut di dalam kebanyakan karya beliau. Di samping itu, penulis turut mempamerkan (tanpa sengaja) sisi Islamik yang ada pada diri beliau.
Dari segi gaya bahasa pula, stail penggunaan onomatopoeia atau kesan bunyi tidak ketinggalan. Bahkan, kispen ini dimulakan dengan unsur berkenaan. Sepanjang cerita, sekurang-kurangnya enam onomatopoeia telah diselitkan kena pada situasinya dan menjadikan pembacaan lebih menarik.
Penulis menggunakan kaedah naratif dari sudut pandangan ketiga. Namun begitu, penulis masih mengadakan ‘jambatan’ di antara watak-watak dan pencerita (narrator), dan di antara pencerita dengan pembaca melalui gaya penceritaan yang kurang formal dan lebih bersahaja. Penggunaan teknik soalan retorik di akhir cerita merupakan sesuatu yang bijak kerana penulis berjaya membuat pembaca berfikir sejenak.
Diksi yang digunakan adalah sederhana. Namun begitu, saya agak kurang bersetuju dengan padanan tajuk dengan cerita. Bagi mereka yang tahu apa itu “anti straight edge”, perkara ini tidak menimbulkan sebarang masalah. Namun, bagaimana dengan mereka yang tidak tahu maksud istilah frasa di atas? Sepanjang kispen, penulis tidak menjelaskan secara langsung maksud istilah berkenaan, dan pembaca hanya dapat mengagak maksudnya daripada apa yang ditulis sahaja. Keadaan ini secara sedikit atau banyak, boleh meletakkan pembaca dalam keadaan meraba-raba di dalam samar dengan hanya ditemani sebiji telefon bimbit berkuasa bateri lemah. Mungkin juga, ada yang berkeadaan teraba-raba di dalam bilik gelap tanpa tingkap dengan memakai kaca mata hitam dan ditemani sebiji telefon bimbit kehabisan bateri dan pengecas pula hilang entah di mana. Oh kasihan. Kecuali konflik ini, penggunaan diksi adalah sesuai dengan cerita dan minat pembaca, seterusnya dapat menyampaikan mesej dengan baik sekali. Syabas! <<pompom girl penat sudeyh>>
Ulasan minggu hadapan: Anak Kecil Itu oleh Syafiq Mohamad

0 kritikan free: