31/01/2012

Review Zine: Buku Hitam

Setelah setahun diterbitkan, baru beberapa hari lepas saya berpeluang untuk membaca karya sulung Dark Book Press iaitu sebuah zine berjudul Buku Hitam. Naskhah yang diterima melalui kiriman pos beberapa hari lepas ternyata kelihatan berbeza daripada apa yang dipaparkan di mana-mana laman sesawang. Menurut Syakirin Daud, Buku Hitam telah melalui proses pencetakan semula dan reka grafik kulit zine sudah diperbaharu. Usaha yang dilakukan sememangnya berbaloi kerana kulit baharu yang ditampilkan adalah jauh lebih menarik berbanding yang sebelumnya. Walau bagaimanapun, tiada sebarang perubahan atau pindaan dilakukan ke atas karya-karya daripada versi sebelum ini; menegaskan bahawa originaliti Buku Hitam masih dikekalkan. Namun begitu, reka grafik kulit zine yang baharu ini memberikan sedikit kekeliruan berhubung cogan kata zine ini. Seperti yang termaklum, cogan kata Buku Hitam ialah “Dia tak gila*Cuma bercerita” dan baris ini dicetak di bawah judul zine pada kulit depan yang terdahulu. Cetakan kedua zine ini agak berbeza apabila cogan kata rekaan Syafiq Mohamad tersebut tidak lagi tertera pada kulit buku tetapi hanya dicetak pada mukasurat judul. Bahkan, kulit belakang versi baharu turut dihiasi dengan grafik “KAU MEMANG GILA, KAU PENCURI KARYA!” yang mengundang persoalan. Hampir sahaja saya yakin bahawa grafik yang tertera pada kulit belakang Buku Hitam merupakan cogan kata baharu bagi zine tersebut. ‘Konflik’ ini mungkin sesuai untuk menggambarkan peribahasa Inggeris; “Don’t judge a book by its cover”.
Khatam sudah bahagian kulit, kita bedah pula isi zine Buku Hitam ini. Karya-karya yang dimuatkan disusun secara rawak sama ada dari segi penulis, jenis, mahupun genre. Rata-rata kispen yang ditulis adalah agak panjang (kispan?) manakala panjang puisi pula memberikan julat panjang yang agak besar. Kesemuanya karya inilah yang membentuk 53 daripada 58 halaman atau mukasurat zine ini. Dari segi fizikal yang lain, jenis font Courier yang digunakan telah memberi kesan visual yang mengingatkan pembaca akan buku-buku lama yang ditaip menggunakan mesin taip pada zaman 70-90an. Namun begitu, susunan yang kemas tidak berjaya mengaburi mata pembaca daripada mengesan beberapa kesalahan ejaan yang disebabkan oleh kesilapan ketika menaip tetapi kesalahan-kesalahan tersebut tidak menjejaskan kualiti karya. Terdiri daripada 15 puisi, 7 kispen, dan 2 buah karya lagi yang tidak dapat dikenalpastikan letak duduknya dalam kategori yang mana; zine ini ditulis oleh tiga orang penulis yang pastinya berbakat besar, iaitu Syafiq Mohamad, Syakirin Daud, dan Aziz Harun. Karya-karya yang ditampilkan adalah berbeza-beza mengikut penulis sehinggakan apabila membaca sesebuah karya di dalam zine ini, pembaca boleh mengagak siapakah penulisnya tanpa perlu melihat nama penulisnya terlebih dahulu.
Bakat Syafiq Mohamad dalam penulisan puisi sangat menyerlah. Cenderung untuk menyampaikan mesej-mesej sosial, Syafiq Mohamad Berjaya memberikan kesan kepada pembaca menerusi pemilihan diksi yang ringkas namun menepati inti yang ingin disampaikan. Puisi-puisi milik beliau yang terkandung dalam zine ini ialah Buku Hitam, Anak Kecil Itu, Kau Boneka, Jiwa Kosong, dan Hai Awak. Dari segi penulisan kispen pula, Syafiq Mohamad mengekalkan genre santai yang menyampaikan pelbagai mesej sosial seperti konflik personaliti dan cinta yang ditulis dengan gaya bahasa yang tersendiri. Meskipun kisah yang ingin disampaikan berbaur serius, gaya bahasa serta diksi yang digunakan kadang kala membangkitkan hilaian kecil yang meberikan perasaan senang kepada pembaca walaupun sedang membaca karya bermesej berat. Kispen-kispen yang ditulis oleh beliau ialah; Ini Baju Bundle, Alina dan Kebaya Hijau, serta Coretan Dakwat untuk Sabariah.
Syakirin Daud juga tidak kurang hebatnya. Penulis yang mengetengahkan isu sosiopolitik negara juga menggunakan diksi yang ringkas dan santai namun tona atau atmosfera yang digunakan adalah sedikit agresif dengan pemilihan kosa kata yang selari dengannya. Personaliti beliau benar-benar tertonjol menerusi karya-karya beliau iaitu 5 buah puisi; Fitnah Akhir Zaman, Pencuri Oksigen, Gadis Terchantek, Sampai Mati, dan Bulan Penuh, dan 3 buah kispen; Tribut Seorang Anti Straight Edge, Peringatan untuk Budak Agas, dan Gigi Karat. Melalui karya-karya tersebut, beliau dengan tegas menyuarakan protes terhadap remaja-remaja liar yang menyimpang dari jalan agama serta pemimpin-pemimpin politik yang korup secara bersahaja namun cukup untuk membuat pembaca terpegun. Gaya penceritaannya yang santai dan agak menggeletek hati membuatkan pembaca berasa dekat dan terhubung dengan penceritaan melalui penggunaan aside yang kerap dan berjaya membuat pembaca tidak jemu untuk terus membaca.
Aziz Harun pula menampilkan gaya yang sangat berbeza berbanding dua penulis yang telah diulas sebelumnya. Ternyata, genre romantis menjadi makanan utama penulis ini yang jelas terpapar dalam karya-karya beliau; Suaramu, Aku.Kau.DIA, Rintihan Hati, Kau yang Ada Disana, Melatiku, Ku Rindu, dan Kamu. Lenggok bahasa dan diksi yang sangat puitis sememangnya cukup untuk memaniskan zine ini dan mungkin juga mampu menambat hati-hati gadis-gadis sepi yang membaca karya beliau. Kesemua karya beliau memaparkan persoalan tentang cinta, yang mengangkat personaliti beliau sebagai seorang pencinta wanita. Bagi pembaca yang mengenali Aziz Harun secara dekat, pembaca mungkin tahu siapakah gadis (atau gadis-gadis) yang dikisahkan dalam karya beliau. Bagi yang tidak mengenali beliau secara dekat (seperti saya), pembaca tidak mampu berbuat apa-apa melainkan tertanya-tanya akan siapa gerangan bertuah yang disebut-sebut oleh beliau. Namun begitu, karya-karya yang ditulis terutamanya puisi kurang memberi kesan kepada pembaca kerana kisah yang diceritakan lebih kepada berbentuk luahan diari atau utusan kepada individu tertentu, yang memberi kesan seolah-olah penulis tenggelam dalam perasaan sendiri lalu meninggalkan pembaca jauh di alam realiti.
Syabas << *\(^^)/* ß angkat pompom >> kepada ketiga-tiga penulis kerana telah berjaya menghasilkan karya yang mengagumkan dalam cara mereka sendiri. Namun begitu, di samping perbezaan-perbezaan yang dibangkitkan, mereka bertiga berkongsi satu persamaan, iaitu ‘pencari cinta’. :P Masih tidak puas bagi saya untuk menghentikan ulasan di sini walaupun sudah berjela-jela panjangnya. Nafsu mengkritik yang dimiliki menuntut kepuasan yang bakal dilunaskan dalam ulasan-ulasan yang akan datang, di mana ulasan lanjut bagi SETIAP KARYA akan diberikan. :P Para penulis sekalian, bersedialah untuk diangkat dan dihentam-hentam manja. <<  ;) ß muka konon seksi minta pelempang >>

0 kritikan free: